KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan secara bersemuka yang sepatutnya kembali dibuka 1 September, ditangguhkan ke 3 Oktober depan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin memaklumkan, ia bagaimanapun akan dibuat secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan.
Radzi berkata, tarikh pembukaan sesi persekolahan itu dilewatkan selepas pihaknya meneliti situasi perkembangan semasa membabitkan penularan COVID-19 di seluruh negara.
Keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira keselamatan para pelajar dan kebimbangan ibu bapa.
“Berdasarkan penelitan semasa, Kementerian Pendidikan (KPM) telah buat ketetapan bahawa pembukaan semula sekolah dilewatkan sedikit ke tarikh 3 Oktober 2021
“Perincian mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dimaklumkan oleh KPM dalam masa terdekat.
“Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), tidak ada sekolah yang akan dibuka untuk negeri Fasa 1 PPN,” katanya dalam satu video yang dimuat naik ke akaun Facebooknya, hari ini.
Julai lalu, KPM mengumumkan sesi persekolahan bagi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka ditetapkan mulai 1 September secara berperingkat.
Namun keputusan itu tertakluk kepada penilaian risiko oleh KKM dan MKN bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.
Sumber:- https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pembukaan-semula-sekolah-secara-berperingkat-ditangguh-ke-3-oktober-radzi-jidin-314216
Madiha Abdullah Ogos 15, 2021 21:18 MYT