SOP buka semula sekolah lindungi pelajar, guru – i-3s

SOP buka semula sekolah lindungi pelajar, guru

PENETAPAN prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan pembukaan sesi persekolahan bermula 24 Jun ini dibuat setelah mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah sejak April lalu.


Sesi persekolahan yang bermula 24 Jun ini akan membabitkan kira-kira 2,000 sekolah dan 500,444 pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa.


Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin sebelum ini memberitahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama KKM dan MKN telah membincangkan dengan terperinci SOP berkenaan agar ia boleh melindungi pelajar bermula sebaik mereka melangkah masuk ke sekolah.


“Kita sudah memulakan langkah ini pada awal April iaitu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac.


“Perbincangan utama pembukaan sekolah kita lakukan bersama KKM, dan MKN. Dalam hal ini, kita tidak mahu tekan KKM. Hanya selepas KKM kata sedia, keadaan COVID-19 sudah reda baru kita laksanakan.


“Kita bincang dengan terperinci mengenai SOP ini. Bagaimana ia boleh melindungi pelajar bermula sebaik mereka melangkah masuk ke sekolah,” katanya dalam temu bual bersama BH baru-baru ini.


Menurutnya, sebelum SOP itu diumumkan beliau datang ke sekolah bagi melihat kesesuaian SOP berkenaan untuk dilaksanakan.


“Saya bermula dengan lawatan ke dua buah sekolah bersama pengurusan tertinggi KPM. Selepas itu baru saya panggil Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) dan Ketua Pengarah MKN (Mohd Rabin Basir) untuk ikut saya dan melihat sama ada SOP ini boleh dilaksanakan atau tidak.


“Saya bawa mereka melihat sendiri SOP di dalam kelas, kantin dan sebagainya,” jelasnya.


Menjelas lanjut, beliau berkata KPM memilih Rabu, 24 Jun untuk memulakan persekolahan berlandaskan alasan jika ada apa-apa berlaku, termasuk keperluan menambah baik SOP, ia boleh dilakukan pada hujung minggu.


Beliau menambah, pasukan akan ditubuhkan bagi memantau dan melihat keberkesanan pelaksanaan SOP berkenaan dan sekiranya ada penambahbaikan ia akan dibuat pada Isnin minggu berikutnya.


“SOP ini membabitkan satu penilaian berterusan. Ini kali pertama kita melaksanakannya. Kita akan lihat dan nilai secara berterusan.


“Pertama kali kita mula iaitu hari pertama sekolah dan kita mahu lihat hasilnya selepas tiga hari sekolah, sebab itu kita ada waktu hujung minggu untuk melihat komponen yang boleh ditambah baik,” katanya.


Tambah beliau lagi, SOP berkenaan akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanannya.


Radzi dalam pada itu berkata, beliau menyedari keadaan ini memberi tanggungjawab sedikit berbeza kepada guru kerana perlu mengamalkan normal baharu yang tidak pernah dilalui warga pendidik khasnya sebelum ini.


Guru ujarnya, kali ini perlu bekerja dalam kekangan yang ada, sebagai contoh kalau dulu kelas 35 hingga 40 pelajar sekarang kelas ditetapkan hanya 20 pelajar.


“Ini tidak pernah berlaku. Kita memang mahu mengecilkan saiz kelas tetapi sebab tak cukup sekolah, ia tidak boleh dilaksanakan.


“Dalam situasi ini saya yakin guru amat memahami keadaan baharu yang memerlukan bantuan semua pihak bukan sahaja guru tetapi pelajar,” katanya.


Menurut laman web KPM, antara SOP dan garis panduan pembukaan sekolah pada 24 Jun ini ialah memastikan murid, guru dan warga sekolah sentiasa mematuhi penjarakan sosial setiap masa dengan pengawasan guru.


Pelajar, guru dan warga sekolah harus dipastikan kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun. Pensanitasi tangan boleh digunakan jika tiada kemudahan air dan sabun.


Selain itu, suhu badan guru, murid dan warga sekolah serta semua pekerja di pintu masuk sekolah atau dalam kawasan berhampiran pintu masuk utama setiap hari dan mereka yang merekodkan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius atau menunjukkan simpton tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah.


Pihak sekolah akan melantik guru bertugas untuk mengawal pergerakan murid di pintu masuk utama sekolah tiba dan pulang, memeriksa suhu badan murid menggunakan alat pengimbas suhu badan dan mengawal pergerakan murid semasa rehat.


Pihak sekolah juga perlu membekalkan pelitup muka kepada murid yang bergejala dan diasingkan di bilik kesihatan/sakit sementara menunggu ibu bapa atau penjaga membawa mereka pulang.


Guru bimbingan dan kaunseling perlu melaksanakan Ujian Minda Sihat secara berkala bagi mengenal pasti murid yang terkesan dengan normal baharu di sekolah.


Turut tertakluk di dalam SOP berkenaan ialah pembelian makanan di kantin perlu dibungkus, pelajar membeli dan makan di dalam kelas.


Masa rehat adalah berperingkat dan guru akan mengawal pergerakan mengikut jadual ditetapkan. Apabila pelajar makan di dalam kelas mereka juga di bawah pengawasan guru.


Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata penetapan SOP berkenaan sudah semestinya menuntut komitmen jitu guru.


Beliau berkata, guru sudah tentu akan berusaha memastikan SOP berkenaan dipatuhi oleh pelajar semasa mereka berada di sekolah.


Beliau juga percaya guru tetap peka tentang kepentingan SOP serta garis panduan itu merupakan sebahagian daripada normal baharu dalam arena pendidikan yang perlu diterapkan kepada pelajar, bukan hanya untuk masa sekarang tetapi sebagai amalan hidup mereka pada masa akan datang.


“Justeru KGBS menegaskan ini jelas membuktikan peranan guru adalah komprehensif bukan hanya sekadar mengajar ilmu dalam bidang akademik tetapi bertanggungjawab menitip ilmu dalam bidang kehidupan seharian.


“Dengan peranan dan tanggungjawab sedemikian, KBGS menegaskan seorang guru tetap tidak akan mengeluh dengan sesuatu tugas yang dilihat sebagai meletihkan.


“Ini kerana guru sememangnya telah dilatih melaksanakan tugas dan peranan mereka tanpa mengira penat dan letih demi memastikan kemenjadian anak didik mereka pada masa depan dengan memperoleh ilmu yang mereka titipkan sekarang,” katanya kepada Utusan Borneo.


Ahmad berkata, KGBS melihat SOP dan garis panduan pembukaan semula sekolah yang diedarkan kepada pihak sekolah sebelum ini suatu sewajarnya ada.


Ini katanya, bagi memastikan tindakan pihak sekolah mengurus pengoperasian sekolah dalam usaha pasca pandemik COVID-19 seragam dan selaras.


“Memang kita mengakui garis panduan dan SOP ini agak banyak tetapi demi memastikan keselamatan warga sekolah kandungannya harus begitu.


“Oleh kerana institusi sekolah melibatkan ramai orang maka KGBS berasakan garis panduan ini memang perlu,” ujarnya.


Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Macky Joseph pula menggesa SOP yang diedarkan kepada semua sekolah dapat dipatuhi dengaan ketat.


“STU percaya bahawa guru terutamanya guru Tingkatan 5 dan 6 bersedia untuk kembali mengajar dan menjaga jarak fizikal dalam kelas sebagai amalan wajib,” katanya.


Beliau bagaimanapun berkata untuk memastikan keberkesanan SOP berkenaan, pelajar sendiri harus bersedia mengamalkan normal baharu pembelajaran.


“Meskipun pembukaan semula sekolah dilaksanakan secara berperingkat dan melibatkan kelas tertentu, STU berharap guru-guru yang tidak terlibat masih meneruskan pengajaran jarak jauh atau dari rumah,” ujarnya.


Sehubungan itu katanya, semua pihak termasuk ibu bapa dan penjaga harus memainkan peranan sementara menunggu pembukaan semula sekolah untuk kelas lain.


“Semua orang harus memainkan peranan masing-masing untuk memastikan pendidikan diteruskan.


“Ibu bapa dan penjaga murid diberi nasihat untuk memotivasikan anak-anak mereka untuk mengikuti pembelajaran jarak jauh atau dari rumah,” katanya.


Sumber oleh Patricia Gari
https://www.utusanborneo.com.my/2020/06/16/sop-buka-semula-sekolah-lindungi-pelajar-guru