Tiada lagi peperiksaan bagi murid Tahun Satu, Dua dan Tiga mulai 2019 – i-3s

Tiada lagi peperiksaan bagi murid Tahun Satu, Dua dan Tiga mulai 2019

PUTRAJAYA: Mulai 2019, murid Tahun Satu, Dua dan Tiga tidak perlu lagi menduduki peperiksaan pertengahan dan akhir tahun.

 

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, pemansuhan peperiksaan untuk murid berkenaan bagi memastikan guru dapat fokus kepada pembinaan insan.

 

“Keputusan ini bukan dibuat dalam masa singkat,” katanya kepada pihak media pada sesi taklimat berkaitan pelaksanaan penilaian murid Tahap Satu pada Rabu.

 

Dr Amin berkata, penilaian berasaskan kelas telah sedia ada sejak 2011 bagaimanapun pihak sekolah terpaksa memberi tumpuan untuk persiapan pemeriksaan bukannya membina keperibadian murid.

“Kaedah penilaian terkini ini akan lebih memberi tumpuan kepada murid, ceria dan dilengkapkan dengan elemen abad ke 21,” katanya.

Beliau berkata, murid juga akan dinilai secara berterusan menggunakan instrumen berbeza termasuk kuiz dan projek mudah.

 

Tambahnya lagi, ibu bapa dan guru juga seharusnya berhubung untuk membincangkan perkembangan murid dan melaksanakan langkah intervensi jika perlu.